Saturday, July 11, 2009

FALSAFAH HARTA DALAM ISLAM

Khutbah Jumaat

FALSAFAH HARTA DALAM ISLAM[1]

Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran

Sidang Jumaat yang dihormati,

Marilah kita memperkukuhkan ketaqwaan kita kepada allah. Taqwa bukan sahaja perasaan takut kepada allah tetapi diikuti dengan perasaan kasih dan taat kepada allah.
Khutbah hari ini ingin mengajak kita merenung sejenak tentang hakikat kehidupan kita yang sebenar. Seperkara yang amat jelas dalam kehidupan moden yang kita lalui sekarang ini ialah segala-galanya di sekeliling kita bergerak dengan begitu pantas sekali. Setiap hari, manusia sibuk ke sana ke mari dengan pelbagai tujuan. Masing-masing berlumba-lumba untuk mengaut setiap habuan dan peluang untuk menambah kekayaan yang sedia ada. Segala-galanya perlu cepat dan pantas, kalau lambat akan terlepas. Arus kebendaan yang semakin rakus melanda kehidupan manusia moden menyebabkan ramai yang hanyut di dalam gelombang kebendaan. Wang ringgit, yang menjadi simbol kekayaan dan kemewahan manusia, telah menjadi kata-kata sakti ‘the magic word’ dalam kehidupan manusia moden. Buktinya, lihat sahaja karya-karya tulisan yang menjadi best sellers di toko-toko buku terkenal di ibukota, sebahagian besarnya berkaitan dengan cara bagaimana untuk menambah kekayaan, tips untuk menjadi jutawan dalam tempoh yang pendek, bagaimana menambah keuntungan dalam perniagaan yang berjaya. Kesemua ini menggandakan lagi kegilaan manusia moden dalam mengejar habuan duniawi. Lalu, setiap inci kamus kehidupan mereka dikira dengan ringgit dan sen, kredit dan debit, untung dan rugi. Sesungguhnya zaman moden ini telah menyaksikan bahawa nafsu serakah dan ketamakan manusia telah menjadi agama baru, sementara sifat tamak haloba manusia menjadi Tuhannya serta wang ringgit menjadikan kiblatnya. Tidak hairanlah apabila kita melihat manusia sanggup bermatian, berbunuhan, menzalimi dan menekan antara satu sama lain semata-mata untuk merebut wang ringgit.

Kekayaan kebendaan telah menyebabkan manusia lupa tentang dirinya, tentang agamanya, tentang Tuhannya yang sebenar. Manusia lupa dengan sejarah yang telah mengajar kita bahawa kemewahan kebendaan adalah antara penghancur utama tamadun manusia. Qarun, yang dirakamkan oleh al-Qur’an sebagai manusia yang paling kaya di atas bumi dengan kunci perbendaharaan hartanya sahaja perlu dipikul oleh 40 orang lelaki yang gagah-gagah[2] akhirnya Qarun dibenam oleh Allah bersama-sama harta kekayaannya kerana kesombongannya dan penganiyaan yang dilakukan ke atas kaumnya. Demikian kayanya Qarun sehinggakan apa sahaja harta yang tertanam sekarang dipanggil dan dikaitkan dengan harta karun. Akan tetapi Qur’an ingin mengajar kita bahawa manusia yang paling kaya diatas bumi ini seperti Qarun, sekiranya sombong dan bongkak dengan kekayaannya, sekiranya lupa ingatan Tuhan, akan menerima balasan buruk dari Tuhan.

Sidang Jumaat sekalian,

Kisah Qarun di dalam al-Qur’an sememangnya menjadi pengajaran penting buat seluruh umat Islam usaha mereka mengumpul dan menimbun harta. Pengajaran al-qur’an ini jugalah yang telah menyebabkan Saidina Umar yang taklukan kerajaannya seluas lebih sejuta km persegi, menangis apabila melihat panglima tenteranya Sa’ad bin Abi Waqas pulang dari peperangan mengalahkan tentera Parsi dengan membawa pelbagai timbunan harta rampasan termasuk permaidani-permaidani Parsi yang indah. Apabila para sahabatnya bertanya kepada Umar mengapa engkau menangis di kala dan ketika kita sepatutnya bergembira setelah menumbangkan empayar Parsi yang hebat, Umar lantas menjawab, “Kekayaan inilah yang telah membawa kepada kejatuhan Empayar Parsi dan sekarang ia telah datang kepada kita untuk menandakan kejatuhan kita pula.

Kata-kata Umar ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita umat Islam dalam kita memahami falsafah mencari harta kekayaan. Islam sememangnya tidak menolak umatnya untuk mencari harta jauh sekali untuk Islam menafikan hak mereka untuk menjadi kaya. Malah, ramai para sahabat Nabi seperti Usman al-Affan dan Abd Rahman bin Auf merupakan hartawan-hartawan besar yang mempunyai harta yang banyak. Cuma, Islam memberi peringatan tentang bahayanya pengumpulan harta kekayaan sama ada secara peribadi atau berkumpulan yang berlebih-lebihan sehingga melahirkan sifat tamak haloba dan akhirnya melupakan tujuan hidup manusia yang paling utama di dunia ini iaitu untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan yang Maha Esa. Harta, sepertimana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali, umpama seekor ular yang mengandungi racun dan juga penawar. Maka sesiapa yang dan tahu kdan mahir tentang kedua-dua unsur ini pada ular, ia akan dapat mengelakkan racunnya dan mengambil manfaat dari penawarnya. Begitu juga dengan harta, sesiapa yang memahami racun-racun yang terdapat dalam harta, akan segera menjauhinya sementara yang memahami penawarnya akan akan memanfaatkannya. Akan tetapi sepertimana juga ular, manusia biasanya lebih terdedah dengan bahaya racun harta kekayaan daripada penawarnya. Ramai manusia yang akhirnya musnah dirosakkan oleh racun harta benda yang dimilikinya.

Oleh kerana itulah al-Qur’an beberapa kali memberi amaran kepada manusia mengenai bahaya menimbun harta sehingga melupai hakikat dirinya sendiri sepertimana yang terakam dalam surah al-Humazah:

“Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela. Yang mengumpulkan harta dan asyik menghitung-hitungnya. Dia menyangka yang hartanya itu dapat membuatnya hidup kekal. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Neraka Hutamah. Dan tahukan apakah itu Hutamah? Iaitu api yang disediakan Allah yang dinyalakan yang membakar sampai ke hati.”

Dan memandangkan perniagaan dan perdagangan merupakan antara contoh utama manusia menimbun harta di atas dunia ini, Al-Qur’an berulang kali memberi peringatan kepada mereka yang terlibat dengan perniagaan tentang bahayanya kecintaan berlebihan terhadap harta serta haloba keuntungan duniawi sehingga melupakan tanggungjawab mereka kepada Tuhan. Dalam surah al-Tawbah, 9:24, Tuhan berfirman:

“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum kelauargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takut rugi, dan tempat-tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasulnya dan dari berjihad di jalannya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Sidang Jumaat sekelian,

Sekiranya kita bertanya mengapa Allah Taala secara khusus menyebut mengenai bahaya kecintaan yang berlebihan kepada harta kebendaan duniawi ini? Ini adalah kerana kecenderungan untuk manusia hanyut dengan godaan harta kebendaan ini adalah cukup besar. Kecintaan terhadap harta menurut satu Hadis Nabi adalah penggoda yang abadi dalam diri manusia sehingga ke saat akhir hidupnya. Sabda Nabi yang bermaksud:

“Anak Adam akan pasti bertambah tua akan tetapi dua perkara yang akan sentiasa muda dalam dirinya, angan-angan dan cintanya kepada harta kebendaan”.

Tambahan pula, kecintaan terhadap keuntungan duniawi yang berlebihan akan menyebabkan kita lupa dengan keuntungan yang bakal didapati dari satu lagi jenis perniagaan, iaitu perniagaan kita dengan Tuhan. Apakah bentuk perniagaan ini? Dalam surah al-Saff 61:10-11, Tuhan menjelaskan mengenai bentuk perniagaan ini:


“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.”

Berdasarkan ayat ini, perniagaan yang dimaksudkan ialah perniagaan dalam bentuk keimanan yang teguh dan ampuh kepada Allah dan penghambaan dan ibadah yang sempurna kepada Allah. Perniagaan ini menurut al-Qur’an lagi, adalah perniagaan yang tidak mungkin akan rugi (tijaratan lan tabur) sepertimana yang dijanjikan oleh Allah dalam al-Fathir 35:29-30


“Sesunguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan , mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”

Malah keuntungan delam perniagaan dengan Tuhan ini berlipat kali ganda ‘ad’afan muda’afah jauh mengatasai keuntungan apa sahaja bentuk perniagaan diniawi sepertimana yang dijelaskan oleh al-Qur’an(Al-Baqarah 2:245):

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan memperlipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatganda yang banyak”

Namun sesiap yang meninggalkan perniagaan ini, maka mereka akan mengalami kerugian yang paling abadi. Kerugian abadi ini disebut oleh al-qur’an sebagai “al-khusr”, adalah lebih parah dari apa sahaja bentuk kerugian kebendaan di dunia ini. Kerugiaan inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam surah al-Asr:


“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati mengenai kebenaran dan menasihati mengenai kesabaran.

Memang benarlah sekiranya manusia yang tidak beriman dengan Allah dan lalai dalam melakukan tanggugnjawab penghambaannya dengan Tuhan, nescaya kerugiannyanya akan berkekalan dan tidak akan dapat ditebus kembali di akhirat nanti. Al-Qur’an menyebut keadaan manusia yang rugi ini diakhirat nanti akan meminta untuk dihidupkan kembali walaupun sesaat untuk mereka bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah, namun dihari itu Allah sekali-kali tidak akan melayan permintaan mereka.

Oleh yang demikian, untuk kita menceburkan diri dalam perniagaan uhkrawi dengan Tuhan ini bukanlah satu pilihan akan tetapi satu kemestian. Hanya orang-orang yang bodoh sahaja yang enggan terlibat dengan perniagaan ini. Orang-orang yang bodoh ini kata al-Qur’an ialah mereka yang sanggup membeli kebatilan untuk ditukar dengan hidayah Tuhan (Al-Baqarah 2:175):

“Mereka inilah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk hidayah dan membeli kesiksaan dengan keampunan”

Sidang Jumaat sekalian,

Demikianlah berita gembira yang dibawa oleh al-Qur’an yang memberikan ganjaran kepada mereka yang bersungguh-sungguh melakukan perniagaan dengan Allah dengan iman yang teguh, ibadah yang mantap. Akan tetapi barang diingat, bahawa perniagaan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana keuntungannya bukan dapat dilihat dengan segera. Justeru, ramai yang sanggup meninggalkan perniagaan ini kerana mengejar perniagaan duniawi yang lebih cepat untung kebendaannya. Ramai yang disebabkan kekurangan iman sanggup mengorbankan keuntungan ukhrawinya kerana mengejar keuntungan duniawi, lantaran itu meninggalkan tanggungjawab agama atas nama kesibukan perniagaan dunia. Maka, ia memerlukan jihad sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi. Saidina Abu Bakar misalnya, yang kaya dan mempunyai harta sebanyak 400,000 dirham sebelum memeluk Islam, hanya tinggal 5,000 dirham ketika beliau berhijrah dengan Rasulullah dan akhirnya menghabiskan semua hartanya ketika dalam peperangan Tabuk. Apabila Rasulullah bertanya beliau apa yang beliau tinggalkan untuk keluarganya, beliau menjawab dengan yakin, Aku tinggalkan bersama mereka Allah dan Rasulnya.

Demikianlah yakin para sahabat Nabi dalam keuntungan perniagaan mereka dengan Allah sehingga sanggup mengorbankan keseluruhan harta duniawinya. Bukanlah khutbah hari ingin mengajak kita menghabiskan kesemua harta kita sehingga tiada yang tinggal untuk keluarga kerana kita tidak akan mampu menyamai iman Saidina Abu Bakar yang timbangan amalannya lebih tinggi dibanding dengan timbangan amalan keseluruhan umat Islam. Akan tetapi, sekurang-kurangnya kisah beliau mengajar kita bagaimana kedudukan keuntungan duniawi berbanding dengan ukhrawi. Paling tidak, kisah tersebut serta pengajaran al-Qur’an mengenai falsafah harta seperti yang dijelaskan tadi mengajar kita bahawasanya harta yang paling kekal abadi pada diri seorang Islam ialah keimanan kita yang teguh, ibadah yang sempurna. Semoga kita mendapat pengajaran dari peringatan-peringatan ini.

[1] Dibaca di Masjid Sg. Cincin, Gombak pada hari Juma’at 31 Mac 2006.
[2] “Sesungguhya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia telah berlaku aniaya terhadap mereka dan kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat”. (al-Qasas 28:76)

Thursday, July 2, 2009

PANDANGAN ISLAM TERHADAP SEKULARISME

Rakaman Video Pembentangan Kuliah bertajuk Islam dan Sekularisme di Sheffield, UK pada 9 Jun 2009 boleh dilayari di:

http://www.ustream.tv/recorded/1631317

TRADISI LOGIK DALAM ISLAM

Logik dalam Tradisi Ilmu Islam

Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran

Mukaddimah
Ketika Imam al-Ghazali menyanggah dua puluh hujah-hujah metafizik al-Farabi dan Ibn Sina, dua sarjana pelopor falsafah Yunani dalam tradisi Islam, beliau mengecualikan ilmu logik dari serangannya. Logik, tegas al-Ghazali, bertujuan untuk memperhaluskan hujahan dan pendalilan, justeru sebahagian besarnya adalah sesuai dan tidak bertentangan dengan agama. Syarat-syarat kesahihan silogisme serta premis-premis logik pula, tambah beliau, tidak banyak membantu dalam menjustifikasi persoalan metafizik mereka (ahli falsafah). Dua ratus tahun kemudian muncul pula Ibn Taimiyyah (m.1328M) yang menghentam falsafah Yunani akan tetapi beliau tidak mengecualikan logik. Bagi beliau logik Yunani merupakan agen utama yang membawa kepada doktrin falsafah kekadiman alam, kenabian, penciptaan al-Qur'an dan lain-lain doktrin metafizik ahli-ahli falsafah. Pandangan Al-Ghazali dan Ibn Taimiyyah ini secara umumnya menggambarkan dua pendekatan di kalangan sarjana Islam dalam menentukan sikap mereka terhadap ilmu logik, satu disiplin yang telahpun dikira sebagai sebahagian dari keluarga ilmu-ilmu tradisi Islam. Bagi melihat lebih lanjut sejarah awal ilmu ini terutama dari aspek penerapannya ke dalam lingkungan ilmu-ilmu Islam, makalah ini berusaha secara ringkas menyorot persoalan tersebut.

Logik Menelusuri Sejarah
Sebagai satu undang-undang berfikir yang cannonical untuk memelihara manusia dari kesalahan dalam berfikir, logik selalu diketengahkan sebagai satu ilmu yang sejagat. Namun sejarah kelahirannya sebagai satu disiplin ilmu, sepertimana yang dikritik, nampaknya tidak begitu menggambarkan keadaan ini. Kelahirannya dikaitkan dengan tradisi falsafah Yunani terutama sekali Aristotle. Dengan kata lain, Aristotle adalah penemu cara manusia berfikir yang betul setelah ribuan tahun kewujudan mereka di dunia ini. Ada yang melaporkan bahawa golongan Sophist Yunani sebelum Aristotle sudah pun menggunakan logik untuk tujuan retorik dan perdebatan. Begitu juga dengan beberapa ahli falsafah Greek termasuk Socrates dan Plato yang telah membincangkan cara-cara berfikir yang betul dalam karya-karya mereka. Namun sejarah pemikiran manusia secara umumnya akur bahawa logik yang bersifat formal dan sistematis tetap bermula dari Aristotle.
Antara yang menyebabkan Aristotle begitu dikaitkan dengan logik ialah kemunculan kumpulan karya besar beliau mengenai logik, Organon, yang mengandungi enam bahagian iaitu Categories, Hermeneutics, Prior Analytics, Posterior Analytics, Topics, dan Sophistics. Keenam-enam tajuk ini kemudiannya ditambah dengan satu pendahuluan oleh seorang lagi ahli falsafah Greek, Porphyry yang bertajuk Introduction (al-Isaghuji) dan dua karya Aristotle yang lain iaitu Rhetoric and Poetics yang menjadikan karya logik yang dikaitkan dengan Aristotle semua berjumlah sembilan buah. Kesembilan-sembilan tajuk ini juga secara langsung mewakili sembilan bidang cabangan logik Yunani.

Penerapan Logik dalam Tradisi Ilmu Islam
Logik mula dibawa masuk dari khazanah ilmu Yunani dengan begitu berjaya oleh pemikir dan sarjana Islam terutama pada awal abad ke 10 dan 11. Walaupun Rescher, seorang penganalisa sejarah perkembangan logik, mendakwa bahawa peringkat awal penterjemahan karya-karya Yunani termasuk dalam bidang logik banyak diwarnai oleh usaha yang dibuat oleh golongan Kristian Syriac terutama golongan Arab Nestorian di Alexandaria, akan tetapi, seperti yang beliau juga ungkapkan, keunggulan tradisi logik di negara Arab, terutama dalam kelompok aliran pemikiran Baghdad, hanya bermula setelah kedatangan ahli falsafah dan pakar logik muslim yang tersohor iaitu al-Farabi (873-950M). Tokoh falsafah yang digelar Guru Kedua (al-Mu’allim al-Thani) selepas Aristotle ini telah menyumbang dengan begitu lumayan dalam mensharahkan karya-karya logik Yunani terutama Aristotle dan beliau telah dianggap sebagai pencetus kepada tradisi kegemilangan logik Arab Islam.

Keunggulan al-Farabi ini diteruskan dengan kedatangan Ibn Sina (980-1037M) yang diungkap oleh Rescher sebagai “the finest and certainly one of the two or three best logicians in medieval Islam”. Selaku satu-satunya tokoh yang mempunyai sistem falsafah yang paling lengkap di kalangan ahli falsafah Islam, Ibn Sina telah mempelopori satu tradisi pemikiran logik yang baru sekaligus merubah sistem pengkajian logik Yunani yang selama ini dikuasai oleh aliran pemikiran Baghdad yang diketuai al-Farabi. Aliran pemikiran logik Ibn Sina, yang diistilahkan oleh beliau sendiri sebagai logik timur (al-mantiq al-mashriqiyyin) ini secara asasnya juga merupakan respon terhadap aliran sekolah pemikiran Baghdad yang lebih mengutamakan pendekatan penghuraian tekstual (textual commentary) yang terlalu terikat kepada teks-teks Aristotle. Pendekatan Ibn Sina sebaliknya lebih bebas dan lebih terbuka kepada penyesuaian-penyesuaian terutama kepada kerangka pemikiran Islam. Antara pembaharuan struktural yang diperkenalkan oleh Ibn Sina ialah pembahagian ilmu dalam kaitannya dengan perbahasan logik kepada dua bahagian umum iaitu mengenai tasawwurat dan tasdiqat. Pembahagian ini menjadi asas kepadaperbincangan mengenai definisi (al-hadd) dan silogism (al-qiyas) dua tajuk utama dalam disiplin logik formal. Pendekatan Ibn Sina ini telah menjadikan logik yang diperkenalkan oleh beliau lebih mudah diikuti, ringkas dan padat. Ternyata pendekatan Ibn Sina ini lebih popular di kalangan ahli-ahli logik sehinggakan karya-karya logik tulisan pengikut-pengikut beliau menjadi lebih terkenal dalam disiplin ini seperti Sharah Isaghuji karangan Al-Abhari, Risalah Shamsiyyah karangan al-Qazwini al-Katibi. Karya-karya mereka lebih berbentuk manual dan disertai dengan sharah yang lengkap dan pelbagai. Sementara aliran pemikiran Baghdad, walaupun cuba bangun kembali di sebelah barat dunia Islam (Sepanyol) setelah kedatangan beberapa tokoh besar seperti Ibn Bajjah (m.1138), Ibn Rushd (m.l198M), Ibn Maimun (m.1204M) dan Ibn Sab’in (m. 1270M). Walaupun mereka berjaya mengangkat semula kegemilangan aliran pemikiran al-Farabi, namun ia masih lagi tidak dapat menyamai kekuatan pengaruh Ibn Sina yang dipelopori oleh pendokongnya seperti Kamal al-Din ibn Yunus (m.1242), Nasir al-Din al-Tusi (m.1274), Al-Abhari (m.1265), al-Qazwini (m. 1292M) dan Qutb al-Din Shirazi (m. 1311M). Kedua-dua aliran ini walaubagaimanapun, masih merupakan dua aliran pemikiran yang paling berpengaruh dalam sejarah perkembangan logik Islam sehingga pertengahan abad ke-14 apabila usaha ke arah penggabungan antara kedua-dua aliran ini telah dilakukan yang pelopori antara lain oleh Badr al-Din al-Tustari (m. 1330M) dan Qutb al-Din al Tahtani (m.1365), al-Sa’d al-Din al-Taftazzani (m.1390M) dan ‘Ali Muhammad al-Jurjani (m.1413M).

Bantahan dan Kritikan terhadap LogikSeperti yang telah disentuh sebelum ini, fenomena kelahiran logik yang bersifat Graeco-centric telah menyebabkan antara lain ia diragui oleh beberapa kelompok masyarakat Islam. Di peringkat awam, bantahan terhadap ‘ilmu luar’ ini cukup kuat sehingga ada yang menganggapnya sebagai ilmu hitam dan alat syaitan! l4 Fakhr al-Din al-Razi, seorang mutakallim abad ke-13 yang masyhur, pernah diancam bunuh kerana dituduh mengorbankan Islam kepada doktrin Aristotle hanya kerana tulisan beliau mengenai logic. Sementara frasa “man tamantaqa tazandaqa”(sesiapa yang menggunakan logik [Yunani] dia telah sesat) mula tersebar di kalangan masyarakat. Di kalangan kelompok ilmuan pula, beberapa isu telah dibangkitkan. Dalam hubungannya dengan bahasa misalnya, yang juga menggambarkan pertembungan antara pendokong aliran agama dan penganut tradisi Helenistik Yunani, kes yang selalu dirujuk ialah perdebatan hangat tentang kedudukan dan sifat logik diantara seorang ahli falsafah Kristian Syriac, Abu Bishr Matta bin Yunus dengan Abu Sa’id al-Sirafi, seorang ahli bahasa, mutakallim dan ahli fikah. Dalam perdebatan tersebut, idea yang cuba diketengahkan oleh Abu Bishr bahawa logik [Yunani] adalah ‘instrumen pertuturan yang membezakan pertuturan yang betul dan yang salah’ telah menerima sanggahan kuat dari al-Sirafi yang menurut Muhsin Mahdi bukan sekadar mempertahankan ahli-ahli bahasa tetapi juga mempertahankan agama.

Antara idea logik yang mendapat penentangan juga ialah teori definisi dan kaitannya dengan ilmu. Ini ekoran dari dakwaan ahli logik bahawa definisi adalah satu jalan manusia mendapatkan ilmu. Definisi sesuatu benda, menurut mereka, ialah ilmu tentang benda tersebut. Dakwaan ini mendapat kritikan yang kuat dari beberapa tokoh kerana selain dari mengenepikan cara lain untuk mendapatkan ilmu juga menobatkan logik sebagai ilmu paling penting untuk manusia mendapat ilmu-ilmu yang lain. Jalal al-Din al-Suyuti, misalnya, mengkritik prinsip ini dengan menegaskan dengan begitu sinis bahawa ‘semua komuniti ilmuan, ulama, para pakar dan profesional mengetahui apa yang mereka tahu dan membuktikan apa yang mereka katakan dalam disiplin masing-masing tanpa perlu bercakap tentang definisi!’

Kritikan terhadap logik dalam lingkungan ilmu-ilmu Islam ini pada umumnya berkisar kepada fitrah dan peranan logik itu sendiri. Adakah logik sebagai ilmu yang lahir dari kerangka fahaman falsafah Yunani, hanya sekadar ilmu instrumental yang neutral atau ia merantai bersama-samanya dasar-dasar metafizik dan falsafah Yunani justeru bertentangan juga dengan agama? Di manakah sempadan-sempadan dan had-had yang dipunyai oleh logik? Adakah logik yang dibawa oleh Aristotle merupakan sistem berfikir yang sejagat sehingga boleh diaplikasi disemua tempat oleh semua orang, atau ia merupakan ilmu yang bersifat tempatan, ciptaan zaman Yunani serta terpengaruh dengan suasana dan konteks kerangka pemikiran dan asas metafizik masyarakat Yunani pada masa itu? Mengapa menunggu Aristotle untuk mengajar kita bagaimana untuk berfikir dengan betul?

Walaubagaimanapun, kritikan-kritikan yang diberikan ini nampaknya tidak memberikan kesan yang besar terhadap penerimaan sebahagian besar kelompok ilmuan yang lain dalam tradisi Islam. Persoalan asal-usul logik misalnya tidak menjadikan sebab yang cukup kuat untuk mereka menolak ilmu tersebut. Yang menjadi persoalan bukanlah asal-usul ilmu tersebut tetapi kegunaan dan peranan yang dimainkan. Ternyata manfaat yang diberikan oleh logik terutama dalam memperkukuhkan metodologi penghujahan dalam disiplin-disiplin ilmu Islam jauh lebih besar dari bahaya kelahiran Greeknya. Ketakutan terhadap ilmu ini juga reda apabila fitrah logik yang brsifat instrumental dan juga keserasiannya dengan ilmu-ilmu agama telah ditegaskan dengan hujah-hujah yang kuat oleh sarjana-sarjana besar seperti Ibn Sina, al-Ghazali dan Ibn Rushd. Yang menjadi perbahasan yang lebih utama di kalangan ahli-ahli logik Islam nampaknya bukanlah pertentangannya dengan agama atau hubungannya dengan metafizik Yunani, akan tetapi bagaimana cara memperhalusi teknik, prinsip dan aksiom logik untuk lebih memantapkannya dalam penghujahan. Prinsip-prinsip logik ini juga nampaknya mampu memperkukuhkan lagi cara pendalilan ahli-ahli agama terutama dalam bidang yang mempunyai fitrah dialektik dan penghujahan seperti ilmu usul fiqh dan ilmu kalam. Justeru itu logik mula berkembang dan seterusnya berjaya meresap masuk ke dalam lingkungan ilmu-ilmu Islam. Bermula pada awal abad ke-12, logik telah diletakkan selari dengan ilmu-ilmu al-Quran, usuluddin dan fiqh dalam struktur asas pendidikan pedagogi di beberapa wilayah Islam. Logik bukan sekadar telah menjadi pra syarat dalam sistem pendidikan agama, malah ia telah mula dibahaskan sebagai sebahagian dari perbahasan dalam beberapa ilmu-ilmu keagamaan seperti ilmu kalam dan usul al-fiqh.Satu contoh yang paling jelas ialah penggunaan logik dalam karya-karya besar Imam Fakhr al-Din al-Razi, mutakallim besar abad ke-13 selepas al-Ghazali. Dalam karyanya al-Mahsul fi Usul al-fiqh, salah satu sumber yang berwibawa dalam bidang usul al-fiqh, Al-Razi membahas mengenai prinsip-prinsip logik sebagai pra-syarat penting untuk ilmu usul al-fiqh. Perbincangan beliau mengenai “al-Kalam fi al-Lughah” dalam kitab tersebut, misalnya, sama sepertimana yang terdapat dalam karya beliau yang khusus tentang logik seperti al-Mulakhkhas fi al-Hikmah wa al-Mantiq. Dalam perbahasan beliau dalam bidang ilmu Kalam pula, al-Razi membincang dengan panjang lebar mengenai konsep tasawwurat dan tasdiqat dalam karyanya yang terkenal, al-Muhassal dan juga perbincangan beliau mengenai definisi (al-hadd) dalam karya beliau yang lain al-Mabahith al-Mashriqiyyah. Sementara karya tafsir beliau yang terkenal, Tafsir al-Kabir dalam satu kajian mempunyai 489 prinsip-prinsip usul fiqh yang kebanyakannya terbit dari prinsip-prinsip logik.

Pengenalan logik dalam karya-karya kalam dan usul al-fiqh yang dilakukan al-Razi telah membawa satu pembaharuan dalam bidang-bidang tersebut sekaligus memulakan satu era baru terutama dari sudut penulisan karya ilmu kalam yang berbeza dari pendekatan lama para mutakallimun sebelum beliau. Ibn Khaldun, tokoh sejarawan Islam tersohor, apabila mengamati pendekatan al-Razi ini menegaskan bahawa beliau adalah orang yang pertama di kalangan sarjana mutakhkhirin yang berjaya menyepadukan antara falsafah dan teologi. Tindakan al-Razi ini juga disifatkan oleh Fazlur Rahman sebagai membawa satu bentuk kalam yang lebih sistematik.

Perbincangan mengenai ilmu kalam selepas al-Razi juga telah mula memberi ruang kepada perbincangan logik sama ada dalam bentuk perbahasan logik yang sebenar ataupun bercampur dengan perbahasan tentang epistemologi dan metafizik. Pendekatan ini jelas dalam karya-karya mutakalim pasca-al-Razi seperti Qutb al-Din Shirazi (m.1311 M), Sa'd al-Din al-Taftazzani (m.1390M) Ali Ibn Muhammad al-Jurjani (m.1413M) dan Shams al-Din al-Fanari. Keadaan vang sama juga berlaku dalam disiplin-disiplin lain dalam tradisi ilmu Islam yang juga mula menerima logik sebagai satu metodologi yang sah dalam disiplin ilmu Islam.
Penutup
Dalam kesempatan yang terhad ini hanya setakat pengamatan ringkas yang dapat diberikan mengenai sejarah dan peranan logik dalam tradisi ilmu Islam. Peranan yang dimainkan oleh para pemikir dan sarjana-sarjana Islam awal dalam meneruskan tradisi ilmu logik ini di dalam tradisi ilmu Islam, secara kesimpulannya, dapat dihuraikan dalam dua bentuk; pertama mereka telah berjaya menghurai dan memperkembangkan disiplin ini sehingga ianya dapat difahami dan diikuti dengan jelas dalam lingkungan ilmuan-ilmuan Islam. Kedua mereka telah menganalisa, menyaring dan menyesuaikan perbahasan-perbahasan dalam disiplin ini dengan disiplin-disiplin lain dalam tradisi ilmu Islam. Kritikan terhadap logik oleh sebahagian kelompok ilmuan Islam tidak banyak memberi kesan kepada perkembangan logik dalam tradisi keilmuan Islam. Ilmu ini terus dilihat sebagai ilmu yang penting dalam mendasari perbahasan-perbahasan ilmiah dalam sebahagian besar disipiln-disiplin ilmu Islam.