Saturday, July 11, 2009

FALSAFAH HARTA DALAM ISLAM

Khutbah Jumaat

FALSAFAH HARTA DALAM ISLAM[1]

Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran

Sidang Jumaat yang dihormati,

Marilah kita memperkukuhkan ketaqwaan kita kepada allah. Taqwa bukan sahaja perasaan takut kepada allah tetapi diikuti dengan perasaan kasih dan taat kepada allah.
Khutbah hari ini ingin mengajak kita merenung sejenak tentang hakikat kehidupan kita yang sebenar. Seperkara yang amat jelas dalam kehidupan moden yang kita lalui sekarang ini ialah segala-galanya di sekeliling kita bergerak dengan begitu pantas sekali. Setiap hari, manusia sibuk ke sana ke mari dengan pelbagai tujuan. Masing-masing berlumba-lumba untuk mengaut setiap habuan dan peluang untuk menambah kekayaan yang sedia ada. Segala-galanya perlu cepat dan pantas, kalau lambat akan terlepas. Arus kebendaan yang semakin rakus melanda kehidupan manusia moden menyebabkan ramai yang hanyut di dalam gelombang kebendaan. Wang ringgit, yang menjadi simbol kekayaan dan kemewahan manusia, telah menjadi kata-kata sakti ‘the magic word’ dalam kehidupan manusia moden. Buktinya, lihat sahaja karya-karya tulisan yang menjadi best sellers di toko-toko buku terkenal di ibukota, sebahagian besarnya berkaitan dengan cara bagaimana untuk menambah kekayaan, tips untuk menjadi jutawan dalam tempoh yang pendek, bagaimana menambah keuntungan dalam perniagaan yang berjaya. Kesemua ini menggandakan lagi kegilaan manusia moden dalam mengejar habuan duniawi. Lalu, setiap inci kamus kehidupan mereka dikira dengan ringgit dan sen, kredit dan debit, untung dan rugi. Sesungguhnya zaman moden ini telah menyaksikan bahawa nafsu serakah dan ketamakan manusia telah menjadi agama baru, sementara sifat tamak haloba manusia menjadi Tuhannya serta wang ringgit menjadikan kiblatnya. Tidak hairanlah apabila kita melihat manusia sanggup bermatian, berbunuhan, menzalimi dan menekan antara satu sama lain semata-mata untuk merebut wang ringgit.

Kekayaan kebendaan telah menyebabkan manusia lupa tentang dirinya, tentang agamanya, tentang Tuhannya yang sebenar. Manusia lupa dengan sejarah yang telah mengajar kita bahawa kemewahan kebendaan adalah antara penghancur utama tamadun manusia. Qarun, yang dirakamkan oleh al-Qur’an sebagai manusia yang paling kaya di atas bumi dengan kunci perbendaharaan hartanya sahaja perlu dipikul oleh 40 orang lelaki yang gagah-gagah[2] akhirnya Qarun dibenam oleh Allah bersama-sama harta kekayaannya kerana kesombongannya dan penganiyaan yang dilakukan ke atas kaumnya. Demikian kayanya Qarun sehinggakan apa sahaja harta yang tertanam sekarang dipanggil dan dikaitkan dengan harta karun. Akan tetapi Qur’an ingin mengajar kita bahawa manusia yang paling kaya diatas bumi ini seperti Qarun, sekiranya sombong dan bongkak dengan kekayaannya, sekiranya lupa ingatan Tuhan, akan menerima balasan buruk dari Tuhan.

Sidang Jumaat sekalian,

Kisah Qarun di dalam al-Qur’an sememangnya menjadi pengajaran penting buat seluruh umat Islam usaha mereka mengumpul dan menimbun harta. Pengajaran al-qur’an ini jugalah yang telah menyebabkan Saidina Umar yang taklukan kerajaannya seluas lebih sejuta km persegi, menangis apabila melihat panglima tenteranya Sa’ad bin Abi Waqas pulang dari peperangan mengalahkan tentera Parsi dengan membawa pelbagai timbunan harta rampasan termasuk permaidani-permaidani Parsi yang indah. Apabila para sahabatnya bertanya kepada Umar mengapa engkau menangis di kala dan ketika kita sepatutnya bergembira setelah menumbangkan empayar Parsi yang hebat, Umar lantas menjawab, “Kekayaan inilah yang telah membawa kepada kejatuhan Empayar Parsi dan sekarang ia telah datang kepada kita untuk menandakan kejatuhan kita pula.

Kata-kata Umar ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita umat Islam dalam kita memahami falsafah mencari harta kekayaan. Islam sememangnya tidak menolak umatnya untuk mencari harta jauh sekali untuk Islam menafikan hak mereka untuk menjadi kaya. Malah, ramai para sahabat Nabi seperti Usman al-Affan dan Abd Rahman bin Auf merupakan hartawan-hartawan besar yang mempunyai harta yang banyak. Cuma, Islam memberi peringatan tentang bahayanya pengumpulan harta kekayaan sama ada secara peribadi atau berkumpulan yang berlebih-lebihan sehingga melahirkan sifat tamak haloba dan akhirnya melupakan tujuan hidup manusia yang paling utama di dunia ini iaitu untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan yang Maha Esa. Harta, sepertimana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali, umpama seekor ular yang mengandungi racun dan juga penawar. Maka sesiapa yang dan tahu kdan mahir tentang kedua-dua unsur ini pada ular, ia akan dapat mengelakkan racunnya dan mengambil manfaat dari penawarnya. Begitu juga dengan harta, sesiapa yang memahami racun-racun yang terdapat dalam harta, akan segera menjauhinya sementara yang memahami penawarnya akan akan memanfaatkannya. Akan tetapi sepertimana juga ular, manusia biasanya lebih terdedah dengan bahaya racun harta kekayaan daripada penawarnya. Ramai manusia yang akhirnya musnah dirosakkan oleh racun harta benda yang dimilikinya.

Oleh kerana itulah al-Qur’an beberapa kali memberi amaran kepada manusia mengenai bahaya menimbun harta sehingga melupai hakikat dirinya sendiri sepertimana yang terakam dalam surah al-Humazah:

“Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela. Yang mengumpulkan harta dan asyik menghitung-hitungnya. Dia menyangka yang hartanya itu dapat membuatnya hidup kekal. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Neraka Hutamah. Dan tahukan apakah itu Hutamah? Iaitu api yang disediakan Allah yang dinyalakan yang membakar sampai ke hati.”

Dan memandangkan perniagaan dan perdagangan merupakan antara contoh utama manusia menimbun harta di atas dunia ini, Al-Qur’an berulang kali memberi peringatan kepada mereka yang terlibat dengan perniagaan tentang bahayanya kecintaan berlebihan terhadap harta serta haloba keuntungan duniawi sehingga melupakan tanggungjawab mereka kepada Tuhan. Dalam surah al-Tawbah, 9:24, Tuhan berfirman:

“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum kelauargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takut rugi, dan tempat-tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasulnya dan dari berjihad di jalannya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Sidang Jumaat sekelian,

Sekiranya kita bertanya mengapa Allah Taala secara khusus menyebut mengenai bahaya kecintaan yang berlebihan kepada harta kebendaan duniawi ini? Ini adalah kerana kecenderungan untuk manusia hanyut dengan godaan harta kebendaan ini adalah cukup besar. Kecintaan terhadap harta menurut satu Hadis Nabi adalah penggoda yang abadi dalam diri manusia sehingga ke saat akhir hidupnya. Sabda Nabi yang bermaksud:

“Anak Adam akan pasti bertambah tua akan tetapi dua perkara yang akan sentiasa muda dalam dirinya, angan-angan dan cintanya kepada harta kebendaan”.

Tambahan pula, kecintaan terhadap keuntungan duniawi yang berlebihan akan menyebabkan kita lupa dengan keuntungan yang bakal didapati dari satu lagi jenis perniagaan, iaitu perniagaan kita dengan Tuhan. Apakah bentuk perniagaan ini? Dalam surah al-Saff 61:10-11, Tuhan menjelaskan mengenai bentuk perniagaan ini:


“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.”

Berdasarkan ayat ini, perniagaan yang dimaksudkan ialah perniagaan dalam bentuk keimanan yang teguh dan ampuh kepada Allah dan penghambaan dan ibadah yang sempurna kepada Allah. Perniagaan ini menurut al-Qur’an lagi, adalah perniagaan yang tidak mungkin akan rugi (tijaratan lan tabur) sepertimana yang dijanjikan oleh Allah dalam al-Fathir 35:29-30


“Sesunguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan , mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”

Malah keuntungan delam perniagaan dengan Tuhan ini berlipat kali ganda ‘ad’afan muda’afah jauh mengatasai keuntungan apa sahaja bentuk perniagaan diniawi sepertimana yang dijelaskan oleh al-Qur’an(Al-Baqarah 2:245):

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan memperlipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatganda yang banyak”

Namun sesiap yang meninggalkan perniagaan ini, maka mereka akan mengalami kerugian yang paling abadi. Kerugian abadi ini disebut oleh al-qur’an sebagai “al-khusr”, adalah lebih parah dari apa sahaja bentuk kerugian kebendaan di dunia ini. Kerugiaan inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam surah al-Asr:


“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati mengenai kebenaran dan menasihati mengenai kesabaran.

Memang benarlah sekiranya manusia yang tidak beriman dengan Allah dan lalai dalam melakukan tanggugnjawab penghambaannya dengan Tuhan, nescaya kerugiannyanya akan berkekalan dan tidak akan dapat ditebus kembali di akhirat nanti. Al-Qur’an menyebut keadaan manusia yang rugi ini diakhirat nanti akan meminta untuk dihidupkan kembali walaupun sesaat untuk mereka bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah, namun dihari itu Allah sekali-kali tidak akan melayan permintaan mereka.

Oleh yang demikian, untuk kita menceburkan diri dalam perniagaan uhkrawi dengan Tuhan ini bukanlah satu pilihan akan tetapi satu kemestian. Hanya orang-orang yang bodoh sahaja yang enggan terlibat dengan perniagaan ini. Orang-orang yang bodoh ini kata al-Qur’an ialah mereka yang sanggup membeli kebatilan untuk ditukar dengan hidayah Tuhan (Al-Baqarah 2:175):

“Mereka inilah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk hidayah dan membeli kesiksaan dengan keampunan”

Sidang Jumaat sekalian,

Demikianlah berita gembira yang dibawa oleh al-Qur’an yang memberikan ganjaran kepada mereka yang bersungguh-sungguh melakukan perniagaan dengan Allah dengan iman yang teguh, ibadah yang mantap. Akan tetapi barang diingat, bahawa perniagaan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana keuntungannya bukan dapat dilihat dengan segera. Justeru, ramai yang sanggup meninggalkan perniagaan ini kerana mengejar perniagaan duniawi yang lebih cepat untung kebendaannya. Ramai yang disebabkan kekurangan iman sanggup mengorbankan keuntungan ukhrawinya kerana mengejar keuntungan duniawi, lantaran itu meninggalkan tanggungjawab agama atas nama kesibukan perniagaan dunia. Maka, ia memerlukan jihad sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi. Saidina Abu Bakar misalnya, yang kaya dan mempunyai harta sebanyak 400,000 dirham sebelum memeluk Islam, hanya tinggal 5,000 dirham ketika beliau berhijrah dengan Rasulullah dan akhirnya menghabiskan semua hartanya ketika dalam peperangan Tabuk. Apabila Rasulullah bertanya beliau apa yang beliau tinggalkan untuk keluarganya, beliau menjawab dengan yakin, Aku tinggalkan bersama mereka Allah dan Rasulnya.

Demikianlah yakin para sahabat Nabi dalam keuntungan perniagaan mereka dengan Allah sehingga sanggup mengorbankan keseluruhan harta duniawinya. Bukanlah khutbah hari ingin mengajak kita menghabiskan kesemua harta kita sehingga tiada yang tinggal untuk keluarga kerana kita tidak akan mampu menyamai iman Saidina Abu Bakar yang timbangan amalannya lebih tinggi dibanding dengan timbangan amalan keseluruhan umat Islam. Akan tetapi, sekurang-kurangnya kisah beliau mengajar kita bagaimana kedudukan keuntungan duniawi berbanding dengan ukhrawi. Paling tidak, kisah tersebut serta pengajaran al-Qur’an mengenai falsafah harta seperti yang dijelaskan tadi mengajar kita bahawasanya harta yang paling kekal abadi pada diri seorang Islam ialah keimanan kita yang teguh, ibadah yang sempurna. Semoga kita mendapat pengajaran dari peringatan-peringatan ini.

[1] Dibaca di Masjid Sg. Cincin, Gombak pada hari Juma’at 31 Mac 2006.
[2] “Sesungguhya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia telah berlaku aniaya terhadap mereka dan kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat”. (al-Qasas 28:76)

No comments:

Post a Comment